Subuh macam Jumaat, Zohor di mana? Cabaran jadikan fenomena anak muda ke masjid sebagai budaya
FENOMENA kempen #SubuhMacamJumaat yang kini mencetuskan gelombang besar di seluruh negara membawa satu perkembangan menarik dalam landskap keagamaan Malaysia.
Masjid-masjid yang sebelum ini sering dikaitkan dengan dominasi jemaah warga emas, kini mula dipenuhi wajah-wajah muda yang hadir seawal pagi dengan semangat luar biasa.
Kehadiran ribuan anak muda menyahut seruan solat Subuh berjemaah pastinya satu perkembangan yang menggembirakan.

Namun, di sebalik keterujaan terhadap fenomena ini, timbul satu persoalan penting yang wajar direnungkan iaitu ‘Zohor di mana?’
Persoalan tersebut bukan bertujuan mempertikaikan semangat yang ditunjukkan, sebaliknya menjadi satu bentuk muhasabah untuk melihat sejauh mana fenomena ini mampu diterjemahkan menjadi perubahan gaya hidup beragama yang konsisten, bukannya sekadar gelombang sementara yang dipacu oleh trend media sosial.
Prof Madya Dr Osama Kanaker dari Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, kempen tersebut dilihat sebagai contoh kejayaan strategi komunikasi dakwah yang berjaya mendekati jiwa generasi muda.
Menurut beliau, penggunaan pendekatan yang dekat dengan budaya anak muda termasuk elemen media sosial berjaya mengubah persepsi bahawa hadir ke masjid bukan lagi sesuatu yang ketinggalan zaman, sebaliknya menjadi satu aktiviti yang positif, membanggakan dan mempunyai nilai komuniti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan sesuatu kempen dakwah tidak boleh hanya diukur berdasarkan jumlah kehadiran ketika ia sedang tular, tetapi berdasarkan keupayaannya membentuk perubahan tingkah laku secara berterusan.
Cabaran terbesar adalah memastikan semangat yang tercetus tidak hanya bergantung kepada momentum media sosial, ikon tertentu atau suasana program yang bersifat sementara.
Menurut Dr Osama, fenomena #SubuhMacamJumaat perlu dilihat sebagai pintu masuk kepada perubahan rohani, bukannya sekadar acara bermusim.
Media sosial telah memainkan peranan besar dalam membina persepsi baharu dalam kalangan anak muda bahawa masjid adalah ruang yang terbuka, menarik dan relevan dengan kehidupan mereka.

Namun, jika kehadiran ke masjid hanya berlaku apabila terdapat kempen, rakaman video atau perhatian masyarakat, dikhuatiri semangat tersebut tidak mampu bertahan dalam jangka panjang.
Beliau berpandangan, kejayaan sebenar bukan hanya apabila anak muda memenuhi saf Subuh, tetapi apabila mereka terus menjadikan masjid sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan harian.
Fenomena ini turut disokong oleh data kehadiran yang memberangsangkan. Antaranya, program di Masjid Bukit Aman merekodkan kehadiran sekitar 1,500 jemaah, manakala gerakan sama di Tambun, Perak turut menarik lebih 1,500 peserta.
Angka tersebut membuktikan bahawa pendekatan dakwah yang disesuaikan dengan realiti semasa mampu menggerakkan penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda.
Namun, pada masa sama, terdapat perbezaan ketara apabila melihat kehadiran bagi waktu solat fardu lain seperti Zohor dan Asar yang masih belum menunjukkan peningkatan seiring.
Keadaan ini memberi gambaran bahawa sebahagian kehadiran mungkin masih bersifat ‘event-based’ iaitu tertumpu kepada program tertentu yang mempunyai daya tarikan dan identiti tersendiri.
Dari sudut agama, kelebihan solat Subuh berjemaah sememangnya mempunyai kedudukan istimewa. Rasulullah SAW menerusi hadis riwayat Muslim menyebut ganjaran besar bagi mereka yang menunaikan solat Subuh berjemaah, malah diumpamakan seperti beribadah sepanjang malam.

Keupayaan anak muda melawan rasa mengantuk dan meninggalkan keselesaan tidur demi hadir ke rumah Allah merupakan satu kemenangan terhadap hawa nafsu. Namun, nilai sebenar daripada pengorbanan itu terletak pada istiqamah.
Jika seseorang mampu membina disiplin untuk hadir ke masjid pada waktu Subuh yang paling mencabar, seharusnya ia menjadi asas untuk mengekalkan komitmen terhadap solat berjemaah pada waktu-waktu lain yang lebih mudah.
Akhirnya, kempen #SubuhMacamJumaat perlu dilihat sebagai permulaan kepada kebangkitan budaya masjid dalam kalangan generasi muda, bukan destinasi terakhir.
Transformasi daripada sebuah trend kepada budaya memerlukan sokongan berterusan daripada institusi masjid melalui program yang mesra belia, pengisian ilmu yang menarik serta ruang yang membolehkan anak muda berasa dihargai dan diterima.
Jangan biarkan fenomena ini hanya menjadi satu lagi kenangan yang tersimpan dalam arkib media sosial.
Sebaliknya, jadikan ia titik perubahan untuk menghidupkan kembali masjid pada setiap waktu solat dan melahirkan generasi Muslim yang bukan sahaja hadir ketika sesuatu kempen menjadi tular, tetapi terus istiqamah dalam perjalanan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










