Alif Satar kongsi kemeriahan #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sri Sendayan
KUALA LUMPUR – Artis versatile, Alif Satar mencuri perhatian netizen apabila berkongsi suasana solat Subuh berjemaah menerusi program #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan hari ini.
Perkongsian yang dimuat naik menerusi media sosial itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji usaha Alif dalam mengajak masyarakat, khususnya golongan lelaki, untuk mengimarahkan masjid terutama pada waktu subuh.
Dalam video yang dikongsikan, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 36, memaparkan kehadiran ramai jemaah yang memenuhi ruang masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.
“Assalamualaikum. Kami baru selesai solat Subuh berjemaah di Masjid Sri Sendayan yang cantik. Salam subuh daripada kami, geng subuh macam Jumaat,” kata penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal itu.
Meninjau ruangan komen, ramai jemaah yang hadir turut berkongsi gambar dan pengalaman mereka menyertai program tersebut termasuk ada yang datang secara berkumpulan dari Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal.
Seorang pengguna media sosial turut mencadangkan agar program itu diperluaskan ke masjid lain.
“Terbaik Alif, harap-harap dapat buat di masjid lain pula nanti. Jemput datang ke Masjid Al Sultan Abdullah,” tulisnya.
Rata-rata netizen menyifatkan kehadiran Alif sebagai satu bentuk dakwah yang dekat dengan masyarakat, selain mampu menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menjadikan masjid sebagai destinasi utama khususnya bagi solat subuh berjemaah.
Sebelum ini, Alif aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti kecergasan yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat serta nilai keagamaan.
Untuk rekod, gerakan #GengSubuhMacamJumaat mula diperkenalkan Alif pada penghujung November 2023 ketika konflik di Gaza mendapat perhatian dunia.
Menurut beliau, idea itu tercetus selepas mendengar perkongsian seorang agamawan mengenai kepentingan mengimarahkan solat Subuh berjemaah sebagai asas kekuatan umat.
Pada 1 Januari 2024, Alif menganjurkan himpunan besar pertama #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara yang berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 jemaah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















