STR Fasa 3 diagih secara berperingkat mulai hari ini
PUTRAJAYA – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat hari ini kepada 5.3 juta penerima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat memerlukan berikutan kos sara hidup yang masih menjadi cabaran kepada sebahagian mereka.
“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Agihan kali ini menyaksikan peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding 5 juta pada awal tahun.
Daripada jumlah itu, seramai 3.9 juta penerima merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta merupakan warga emas tiada pasangan.
Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“STR dan Sumbangan Asas Rahmah membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” tambah beliau.
Bagi Fasa 3 ini, penerima akan menerima bayaran antara RM150 dan RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








