BERITA SEMASA

Stok beras negara cukup tampung keperluan rakyat selama 6.23 bulan

KUALA LUMPUR – Stok fizikal beras negara sehingga 7 Julai lalu adalah sebanyak 1.05 juta tan metrik, termasuk 200,000 tan metrik stok penimbal dan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat selama 6.23 bulan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, jumlah itu mencerminkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang gangguan rantaian bekalan makanan global.

Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan sentiasa memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan global melalui pelbagai langkah.

“Seterusnya KPKM melaksanakan langkah menjamin kesinambungan pengeluaran domestik melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan kos operasi pengusaha agromakanan, antaranya Bantuan Tunai Budi Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan dan Insentif Pembajakan kepada Pesawah sebanyak RM300 sebulan dan mengekalkan subsidi diesel dan petrol kepada nelayan.

“Selain itu, memperkukuh pemantauan pasaran melalui pelaksanaan sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI) di bawah Sistem Intervensi Penawaran dan Permintaan Agromakanan bagi membolehkan pengesanan awal isu bekalan dan permintaan serta pelaksanaan intervensi yang lebih tepat, proaktif dan pantas,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris berhubung pelan jangka panjang kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada import makanan utama, termasuk sasaran tahunan nisbah kecukupan pengeluaran domestik serta tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

Foong Hin berkata, antara langkah lain dilaksanakan termasuk meningkatkan pengeluaran domestik komoditi berkebergantungan import tinggi, seperti jagung bijian dan bawang.

“Program penanaman jagung berskala besar akan dilaksanakan dari 2026 hingga 2040 dengan sasaran 1.25 juta tan metrik.

“Bagi bawang, penanaman bawang merah kecil varieti tempatan BAW-1 akan dijalankan sebagai projek rintis komersial seluas 1,447 hektar menjelang 2030,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button