Skuad Harimau Malaya masih layak beraksi di luar negara – AFC
KUALA LUMPUR – Tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan tampak tidak menjejaskan skuad kebangsaan sekali gus Malaysia masih boleh beraksi di pentas antarabangsa.
Perkembangan positif itu disahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John ketika ditanya sama ada tindakan FIFA itu akan turut memberi tempias kepada skuad kebangsaan sedia ada.
“Pasukan Harimau Malaya tidak kena gantung, hanya pemain sahaja (digantung). FAM juga tidak digantung kerana mengikut apa yang diputuskan FIFA, FAM hanya didenda dan hanya pemain yang digantung selama 12 bulan.
“Tiada isu (Harimau Malaya tidak boleh beraksi) dan Harimau Malaya masih hidup. Buat masa ini, kita tunggu langkah seterusnya daripada FAM,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain itu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








