BERITA SEMASA

Sistem imbasan QR di pelepasan Imigresen kini masuk fasa akhir

PUTRAJAYA – Penggunaan kod QR bagi pelepasan Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor akan dimuktamad dalam masa tiga bulan selepas percubaan sistem itu dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini telah menerima tiga sistem cadangan daripada vendor dan akan diuji bermula 1 Jun ini.

“Ada tiga sistem cadangan daripada beberapa syarikat yang kemukakan kepada KDN dan kita akan uji sistem ini. Hanya perlu muat turun aplikasi, daftar, sama ada gunakan Digital ID atau MySejahtera, ambil gambar pasport, gambar individu dan disahkan.

“Apabila melalui Imigresen, memadai dengan menunjukkan telefon pintar sahaja, tak perlu keluarkan pasport. Imbas kod QR, automatik akan masuk ke sistem.

“Konsep yang dibangunkan ini dijangka menjimatkan secara purata 50 peratus waktu perjalanan,” katanya di sini hari ini.

Penggunaan imbasan kod QR di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI dan KSAB itu bagi mengurangkan kesesakan yang kerap berlaku di sempadan negara.

Fasa Pertama penggunaan kod QR itu akan bermula
dengan pengguna perkhidmatan bas di BSI dan motosikal di laluan M-Bike di KSAB.

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor berkata, hasil mesyuarat jawatankuasa khususnya berkaitan penggunaan sistem terbabit akan dibentangkan ke kabinet secepat mungkin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button