BERITA SEMASA

Simpanan pendeposit tidak cukup punca 50 peratus tolak tawaran haji musim lalu – TH

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan lebih ramai bakal haji menolak tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun depan disebabkan kekangan kewangan.

Menurut TH dalam satu kenyataan, bagi menghadapi musim haji musim hadapan, pihaknya telah mempertingkatkan usaha peringatan awal sejak Ogos lalu kepada semua bakal jemaah.

Katanya, ia bagi memastikan mereka membuat persediaan secukupnya, termasuk aspek kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif peremajaan jenama TH dan setakat ini menunjukkan hasil yang positif,” katanya hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan sebanyak 50 peratus jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini direkodkan menolak tawaran berkenaan.

Mohd Na’im berkata, faktor penolakan tawaran itu dikenal pasti berpunca daripada masalah kewangan dihadapi jemaah terbabit.

Sementara itu TH menegaskan laporan mengenai kadar penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus adalah berdasarkan data musim haji terdahulu, iaitu musim haji 1446H/2025.

Menurut TH, analisis ke atas penolakan tawaran pada musim haji berkenaan mendapati majoriti kes berpunca daripada simpanan pendeposit yang tidak mencukupi untuk melayakkan mereka menerima tawaran haji.

“TH memaklumkan bahawa tawaran haji bagi musim 1447H/2026M masih dikeluarkan secara berperingkat.

“Berdasarkan perkembangan semasa, kadar penolakan bagi musim akan datang dijangka lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya hasil peringatan awal dan kempen simpanan berterusan.

Mengulas lanjut, TH menjelaskan bahawa bakal jemaah perlu mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH masing-masing untuk melayakkan mereka menerima tawaran haji atau membuat rayuan.

Sehubungan itu, TH menggalakkan semua bakal jemaah untuk membuat simpanan secara berkala dan menjaga kesihatan sejak awal sebagai persiapan melengkapkan rukun Islam kelima.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button