Sekretariat Solidariti Palestin gesa kerajaan batal hasrat jual saham MAHB kepada GIP
PUTRAJAYA – Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menggesa Kementerian Pengangkutan hari ini menghentikan cadangan penjualan pegangan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki sepenuhnya oleh BlackRock.
Menurut kenyataan yang dikeluar SSP, gesaan tersebut kerana syarikat BlackRock itu dikaitkan dengan firma pelaburan pro-Zionis serta penyumbang besar genosid di Palestin.
“Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang membentuk konsortium bersama Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) untuk menawarkan hampir 30 peratus pegangan saham kepada syarikat tersebut.
“Walaupun baki 70 peratus masih dipegang oleh Khazanah dan KWSP, cadangan ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat Malaysia dan SSP menggesa bahawa cadangan ini perlu dikaji semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, harga tawaran pembelian ditetapkan pada RM11 sesaham dan secara nilai keseluruhan ekuiti MAHB adalah RM18.4 bilion.
“Ini bermaksud nilai 30 peratus saham yang akan dipegang oleh ADIA dan GIP adalah sebanyak RM5.52 bilion,” katanya.
Katanya, SSP menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan KWSP dan Khazanah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diterima oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Dalam pada itu, katanya kerajaan memberi respon yang mendukacitakan SSP kerana tindakan mereka dilihat tidak serius dan tidak profesional dalam menangani kebimbangan rakyat.
“Ini bertentangan dengan prinsip kerajaan Madani yang kononnya menyokong perjuangan warga Palestin.
“Oleh itu, SSP mendesak kerajaan untuk menjawab semua persoalan rakyat mengenai isu ini dengan tuntas dan profesional,” katanya.
Sehubungan itu, SSP menegaskan agar kerajaan Madani membuktikan ucapan dan pendirian mereka dalam isu Palestin.
“Jika kerajaan gagal memenuhi harapan rakyat, kami tidak akan teragak-agak untuk turun ke jalanan sebagai usaha menghalang tindakan kerajaan ini,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








