BERITA SEMASAPOLITIK

SEDAR gesa ROS teliti pertindihan dengan nama Parti Wawasan Negara

KUCHING – Parti Sedar Rakyat (SEDAR) meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meneliti isu kemungkinan pertindihan nama parti politik susulan laporan bahawa bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin berhasrat menubuhkan sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara.

Presiden SEDAR, Affendi Jeman berkata, parti itu sebelum ini telah meluluskan usul untuk menukar nama daripada Parti Sedar Rakyat kepada Parti Wawasan Rakyat pada Kongres Agung Tahunan 2025 yang berlangsung di Hotel Merdeka Palace, Kuching pada 15 Februari lalu.

Menurut beliau, cadangan pertukaran nama tersebut telah mendapat sokongan sebulat suara daripada para perwakilan yang hadir pada kongres berkenaan.

Affendi berkata, susulan kelulusan itu, SEDAR telah mengemukakan permohonan rasmi kepada ibu pejabat ROS di Putrajaya pada 8 April lalu bagi mendapatkan kelulusan terhadap semua pindaan yang dipersetujui, termasuk pertukaran nama parti.

“Parti kami telah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 8 April 2026 bagi melaksanakan semua pindaan yang telah diluluskan dalam kongres, termasuk cadangan penggunaan nama Parti Wawasan Rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap ROS dapat menangani isu pertindihan atau persamaan nama parti politik secara sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa hadapan.

“Kami berharap ROS dapat meneliti dan menguruskan perkara berkaitan pertindihan nama ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Terdahulu, Hamzah yang dilaporkan berpisah dengan BERSATU susulan perpecahan dalaman parti itu menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button