‘Saya hormat, terima dengan hati terbuka keputusan MIC’ – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau menghormati dan menerima dengan hati terbuka keputusan MIC sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan berkenaan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, beliau juga tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman parti pimpinan Tan Sri S A Vigneswaran tersebut.
“Saya mengikuti dengan dekat apa yang telah diperbahaskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC.
“Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan kepimpinan MIC. Saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka.
“Apa juga keputusan yang dibuat oleh mereka, kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerimanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China 2025 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, perwakilan MIC ketika AGM ke-79 yang berlangsung di Shah Alam, sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.
Vigneswaran menjelaskan, Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu akan meneliti usul perwakilan bagi menentukan langkah seterusnya.
Mengenai saranan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam yang berhasrat mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan, Ahmad Zahid menyifatkan langkah berkenaan sebagai pendekatan terbaik.
“Itu (perbincangan) adalah satu pendekatan yang baik. Dan apa pun keputusan yang akan dibuat, terserah kepada parti berkenaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








