SUKAN

Salah padam semua kaitan dengan Liverpool di X

LONDON – Tindakan Mohamed Salah, memadam semua rujukan berkaitan Liverpool di akaun media sosial X selepas kemenangan 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam menimbulkan tanda tanya.

Pada perlawanan di Jerman itu, Salah hanya diturunkan sebagai pemain gantian, namun skuad kendalian Arne Slot tetap berpesta gol menerusi jaringan Hugo Ekitike, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai, sekali gus menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut.

Salah yang kini berusia 33 tahun turut menjadi tumpuan susulan prestasi hambar musim ini apabila gagal menjaringkan gol atau mencipta sebarang bantuan jaringan dalam lima perlawanan terakhir bersama Liverpool.

Keadaan menjadi lebih panas apabila dia enggan melakukan hantaran kepada Florian Wirtz yang berada pada posisi lebih baik untuk menjaringkan gol mudah ketika dimasukkan pada babak kedua aksi menentang Frankfurt.

Selepas tamat perlawanan, Salah sekali lagi mencetuskan spekulasi apabila memadam gambar sambutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dari akaun X miliknya serta menukar gambar profil yang sebelum ini menunjukkan dirinya memakai jersi Liverpool kepada gambar bersama dua anaknya di pantai.

Mengulas mengenai keputusan merehatkan Salah di bangku simpanan, Arne Slot mengakui ia bukan keputusan mudah namun dibuat atas dasar taktikal.

“Sudah tentu sukar, tetapi ia bergantung kepada Mo dan semua pemain lain yang saya ada.

“Setiap kali saya memilih kesebelasan utama, ia sukar kerana kami mempunyai ramai pemain berkualiti. Saya perlu gunakan semua mereka,” memetik laporan Liverpool Echo.

Slot turut menjelaskan bahawa perubahan dilakukan selepas Ryan Gravenberch tidak dapat diturunkan.

“Dengan cara Frankfurt bermain, kami perlu ubah struktur tengah dari segi serangan dan pertahanan.

“Saya ada pemain yang bermula dan pemain yang mampu memberi impak dari bangku simpanan, dan hari ini pun sama,” katanya lagi.

Setakat ini, pihak pengurusan Liverpool belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan Salah di media sosial, namun peminat mula berspekulasi kemungkinan bintang Mesir itu sedang merancang untuk meninggalkan Anfield.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button