BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Salah guna wang pampasan RM455,000, ketua kaum ditahan SPRM

BINTULU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman seorang ketua kaum yang disyaki menyalah guna wang pampasan berjumlah kira-kira RM455,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 Januari 2025 telah dikeluarkan Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan seorang ketua kaum dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023.

“Suspek disyaki telah menyalah guna wang pampasan yang telah diserahkan oleh sebuah syarikat pembalakan yang sepatutnya disalurkan kepada penduduk rumah panjang berhubung projek pembalakan yang dibuat di kawasan milik penduduk itu,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau turut memberitahu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM9,500 dan satu unit telefon bimbit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button