BERITA SEMASA

Rumah keluarga Ahli Parlimen Subang terjejas akibat tanah runtuh di Seputeh

KUALA LUMPUR – Rumah bapa kepada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen di Taman United, Jalan Klang Lama di sini terlibat dalam kejadian tanah runtuh semalam. 

Menurut Wong Chen, dalam kejadian itu tembok penahan awam di bahagian bawah telah runtuh menyebabkan tanah dan serpihan jatuh ke kawasan beberapa flat berhampiran.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan beberapa kereta dan motosikal rosak.

“Kawasan taman di rumah ayah saya dan rumah keluarga besar kami telah runtuh sepenuhnya akibat kejadian tersebut.

“Ayah saya terpaksa mengosongkan rumah selepas dinasihatkan oleh pihak berkuasa. Syukur, tiada sesiapa yang cedera,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Tanah runtuh
Keadaan di kawasan taman di rumah ahli keluarga Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang terjejas akibat tanah runtuh.

Dalam pada itu katanya, beliau juga telah memaklumkan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok semalam sejurus selepas kejadian dan beliau segera menghantar pasukannya serta memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mereka tiba di lokasi dalam masa kurang sejam. Saya amat menghargai tindakan profesional dan pantas mereka.

“DBKL juga telah memulakan kerja-kerja pembaikan termasuk pengalihan sistem perparitan serta meletakkan kanvas bagi mengelakkan hakisan lanjut. Namun, hujan berterusan menyukarkan keadaan.

“Walaupun keluarga saya terjejas, fikiran saya turut tertumpu kepada mangsa-mangsa lain. Saya juga dimaklumkan bahawa satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku tidak jauh dari kawasan ini.

“Harap semua kekal selamat dan berwaspada terhadap risiko tanah runtuh serta banjir,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button