
Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN & DR. ERNA MASFIZA MOHAMED RAMLI
PERBINCANGAN tentang fenomena banjir bukan perlu kita teliti ketika musim banjir menjelma sahaja.
Ini kerana, kita semua maklum, banjir bukan hanya fenomena alam semula jadi tetapi impak ketidakseimbangan alam kesan tangan manusia sendiri.
Tangan-tangan kasar terus serakah meneroka alam kononnya demi pembangunan.
Kita sedar pembangunan itu penting, malah didambakan sebagai pemberian kepada generasi muda untuk terus melangkah dan meniti kemodenan, tetapi haruslah disertai dengan keseimbangan ekologi yang menjadi ‘hadiah’ sebenar buat generasi akan datang.

Mudah untuk kita bercakap tetapi adakah kita benar-benar faham apa yang berlaku sebenarnya dalam industri perkilangan misalnya, yang menyebabkan banjir?
Banyak faktor yang menyebabkan banjir dan aktiviti industri perkilangan adalah antara yang utama.
Pembakaran bahan bakar fosil seperti gas untuk kegunaan industri menghasilkan gas berbahaya yang terperangkap di atmosfera.
Gas ini menyebabkan pemanasan global atau kesan rumah hijau, yang akhirnya meningkatkan suhu bumi dan mencetuskan cuaca ekstrem seperti banjir.
Banjir yang disebabkan oleh aktiviti industri berlaku di banyak negara di seluruh dunia.
Maka tidak hairanlah dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12, ditekankan dengan jelas penggunaan sumber secara bertanggungjawab.
Untuk mencapai objektif hijau tanpa mencemarkan alam, industri perkilangan disaran mengadaptasi tenaga boleh diperbaharui dan mengamalkan ekonomi kitar semula.
Berita baik bagi kita semua kerana statistik menunjukkan pengamalan praktis terbaik dalam sektor perkilangan, malah dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri hakikatnya menunjukkan peningkatan beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, kita masih muda dan perlu meneliti praktis negara-negara maju lain yang boleh diteladani seperti Sweden, Norway dan Jerman.
Sweden misalnya adalah antara negara paling proaktif dalam mengamalkan dan menggalakkan kesedaran dan amalan mesra alam.
Mereka mempunyai sistem pengurusan sisa yang lebih daripada 99 peratus sisa domestik dikitar semula dan digunakan sebagai tenaga.
Norway pula menjadi negara tertinggi mencatat penjualan kenderaan elektrik. Misalnya pada 2020, lebih 54 peratus kenderaan yang dijual di negara tersebut adalah kenderaan elektrik.
Jerman pula, di bawah program dikenali sebagai Energiewende mengurangkan penggunaan tenaga fosil dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan biomass.
Ini menjadikan Jerman salah satu pengeluar terbesar teknologi boleh diperbaharui di dunia.
Dalam konteks tempatan, kerajaan Malaysia sendiri tidak pernah duduk diam dalam meningkatkan kesedaran pihak swasta dan rakyat tentang pengurusan dan penggunaan produk mesra alam.
Melalui Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sokongan padu diberikan demi meningkatkan penggunaan teknologi mesra alam yang seterusnya akan meningkatkan permintaan bagi produk produk lestari ini.
Tambah menarik, insentif untuk industri turut merangkumi pengecualian cukai untuk teknologi tenaga boleh diperbaharui yang diadopsi dalam sektor perkilangan negara.
Dalam kalangan masyarakat Malaysia pula, berlaku peningkatan permintaaan terhadap produk makanan organik, peningkatan penjualan kereta elektrik serta pengurangan penggunaan plastik dalam pembungkusan industri makanan.
Menurut laporan Research and Markets yang diterbitkan pada 2021, pasaran makanan organik di Malaysia dijangka berkembang pada kadar CAGR (Compound Annual Growth Rate) sebanyak 13.6 peratus antara tahun 2021 hingga 2026.
Sementara itu, laporan Malaysian Automotive Association (MAA) pula menyatakan, jualan kenderaan elektrik di Malaysia meningkat sebanyak 61.2 peratus pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Usaha dan statistik memberangsangkan ini memberi signal bahawa telah wujud kesedaran oleh pihak swasta serta masyarakat Malaysia sendiri tentang peri pentingnya meletakkan aspek kelestarian alam pada darjat yang sepatutnya.
Namun, usaha kita tidak dinafikan masih penuh dugaan. Antara yang utama ialah kos yang tinggi untuk menghasilkan dan membeli produk mesra alam.
Harga sayur sayuran organik misalnya, jauh lebih tinggi daripada sayuran hasil tanaman konvensional.
Begitu juga kos seliaan kereta elektrik termasuk isu kekurangan stesen pengecasan bateri.
Dalam hal ini, masa menjadi salah satu indikator penting dalam mentransformasi Malaysia sebagai negara mesa alam dan hijau, namun sinergi tenaga daripada pihak kerajaan, pihak swasta dan rakyat Malaysia sendiri masih menjadi tunggak utama pencapaian.
Kita tidak mahu apabila musim banjir, ia terus-terusan menakutkan dan memenatkan rakyat Malaysia yang terjejas.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kehilangan jiwa, kemusnahan harta benda dan kelelahan bangkit semula selepas banjir tidak mudah untuk dilalui, bukan sekali malah berkali-kali.
Bersihkan rumah selepas banjir membawa keharmonian keluarga, bersihkan jiwa dan raga dengan kesedaran mesra alam membawa sejahtera, lestari seantero dunia.
* Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan & Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Univerisiti Sains Islam Malaysia


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |