BERITA SEMASA

Remaja mangsa nahas RXZ masih kritikal, terpaksa ditidurkan semula

KUALA TERENGGANU – Remaja lelaki yang melecur teruk selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan peserta program RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus pada Jumaat lalu masih berada dalam keadaan kritikal apabila terpaksa ditidurkan semula bagi memudahkan rawatan.

Bapanya, Talha Mahmud, 61, berkata, anaknya, Ahmad Asyraf Talha, 13, sempat sedar seketika pada pagi semalam, namun doktor mengambil keputusan untuk menidurkannya semula selepas denyutan jantungnya didapati terlalu laju.

“Tubuh anak saya melecur kira-kira 60 peratus dan kebanyakan lapisan luar kulitnya sudah tiada. Sebab itu dia perlu ditidurkan bagi memudahkan prosedur pembersihan luka dilakukan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Jumaat lalu, media melaporkan Ahmad Asyraf dan ibunya, Syafirah Salim, 36, melecur selepas motosikal Honda Beat yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Bulu Gading, Kuala Nerus.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi itu, motosikal mereka dipercayai dirempuh sebuah Yamaha RXZ yang ditunggang peserta RXZ Members 8.0 selepas hilang kawalan sebelum terbabas.

Menurut Talha, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata, keadaan Ahmad Asyraf masih membimbangkan kerana sehingga kini proses pemulihannya belum menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan berdasarkan penjelasan pegawai perubatan.

“Prosedur tampalan kulit juga terpaksa ditangguhkan kerana hospital kekurangan stok tisu kulit.

“Saya bimbang luka melecur itu terdedah kepada risiko jangkitan kuman,” katanya.

Dalam pada itu, Talha memaklumkan isterinya yang hamil tujuh bulan berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button