Remaja disyaki curi sos ditahan polis
JEMPOL – Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki mencuri dua paket sos lada hitam dan dua paket mayonis bernilai RM41 di sebuah pasar raya di Bandar Seri Jempol, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 malam selepas suspek dilihat keluar masuk premis dengan membawa sebuah beg sandang, sekali gus menimbulkan syak wasangka pekerja pasar raya terbabit.
“Suspek telah ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum sepasang suami isteri yang mengaku sebagai ibu bapanya datang dan meminta supaya dia dilepaskan sehingga mencetuskan pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, suspek bersama pasangan terbabit kemudian melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza.
Menurut beliau, suspek berjaya diberkas polis pada pukul 1 tengah hari semalam dan hasil siasatan mendapati remaja berkenaan masih bersekolah.
“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapan diambil. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






