BERITA SEMASADALAM NEGERI

Puting beliung, ribut: Kampung Medan diisytihar kawasan bencana tahap 1

KUALA LANGAT – Susulan kejadian ribut dan puting beliung yang melanda Kampung Medan di sini semalam, kawasan berkenaan kini diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi, pengisytiharan itu telah dibuat oleh Pegawai Daerah Kuala Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Katanya, bencana yang berlaku pukul 4.15 petang itu telah menyebabkan sebanyak 40 buah rumah rosak di sekitar kawasan perumahan Batu 9, Kampung Medan dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.

“Sebuah Dewan Wawasan Batu 9, Kampung Medan yang turut menempatkan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang turut rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan, lima buah sekolah turut terjejas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, SK Jalan Tanjung dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.

Baca juga : Empat sekolah di Teluk Panglima Garang terjejas ribut, KPM arah laksana PdPR

Seramai 65 mangsa melibatkan 21 keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Klang, Sijangkang dan Shah Alam selepas rumah mereka rosak akibat ribut serta puting beliung yang melanda petang semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti keadaan semasa di kawasan terjejas selain memastikan bantuan segera disalur kepada semua mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button