POLITIK

PRU16: UMNO hampir pasti bertanding solo PRU16 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijangka mengambil pendekatan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), namun tetap membuka ruang persefahaman dengan parti lain bagi mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu, memandangkan gabungan berkenaan turut bergerak secara sendiri pada PRU14 dan PRU15.

Bagaimanapun, beliau menegaskan BN tidak bercadang untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen, sebaliknya akan menumpukan kepada kawasan yang mempunyai potensi kemenangan, memetik laporan eksklusif Media Prima hari ini.

“Pendekatan ini mengambil kira keperluan mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh menjejaskan peluang mana-mana parti untuk memperoleh kemenangan dominan,” katanya dalam temu bual sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurutnya, strategi tersebut turut melibatkan persefahaman tidak rasmi dengan parti lain di luar BN bagi mengelakkan pertindihan kerusi.

Dalam masa sama, Zahid menegaskan UMNO kekal fleksibel dalam membentuk kerjasama politik, namun tidak akan berkompromi terhadap empat prinsip utama iaitu kepentingan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak Melayu serta kedudukan bahasa Melayu.

Beliau menambah, prinsip berkenaan bukan sekadar agenda kaum atau agama, sebaliknya merupakan asas nasional yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mengulas lanjut, Zahid berkata landskap politik semasa yang semakin dinamik menuntut UMNO menyesuaikan strategi termasuk membuka ruang kerjasama selepas pilihan raya.

Sementara itu, beliau menafikan wujud masalah dalam kalangan parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC, walaupun timbul spekulasi mengenai kemungkinan kedua-duanya meninggalkan gabungan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button