BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Negeri Sembilan: BERSAMA umum tidak bertanding, fokus hadapi PRN Melaka

PUCHONG – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengumumkan tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula dengan penamaan calon pada Sabtu ini, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRN Melaka yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa, selain kekangan masa dan sumber.

Menurut mereka, PRN Negeri Sembilan mempunyai dinamik yang berbeza berbanding PRN Johor apabila persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka lebih sengit memandangkan PH merupakan kerajaan negeri.

Selain itu, keputusan pilihan raya berkenaan juga dijangka dipengaruhi beberapa isu semasa termasuk konflik yang dikaitkan dengan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, BERSAMA berpendapat adalah lebih strategik untuk mengalihkan fokus kepada PRN Melaka,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, parti berkenaan memaklumkan mesyuarat persediaan awal bagi menghadapi PRN Melaka akan diadakan pada 21 Julai ini bagi mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi serta memulakan proses saringan calon.

Tambahnya, langkah berkenaan bertujuan membolehkan calon-calon diumumkan lebih awal sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi pilihan raya.

Dalam pada itu, BERSAMA turut mengadakan majlis penghargaan kepada sukarelawan dan calon yang terlibat dalam PRN Johor pada 19 Julai ini di ibu pejabat parti di Puchong.

Majlis berkenaan akan diteruskan dengan acara tontonan bersama perlawanan akhir Piala Dunia bermula pukul 12.30 tengah malam.

Parti itu turut menzahirkan penghargaan kepada ahli dan sukarelawan yang bersedia untuk digerakkan ke PRN Negeri Sembilan meskipun masih keletihan selepas berkempen pada PRN Johor.

“Kami berharap tempoh masa yang lebih panjang memberi ruang kepada BERSAMA membuat persiapan lebih rapi untuk menghadapi PRN Melaka di samping mengambil kira pelbagai pertimbangan lain,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button