Nurul Izzah umum tanding jawatan Timbalan Presiden PKR
CYBERJAYA – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan pencalonannya sebagai Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR kali ini.
Kata Nurrul Izzah, keputusan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan parti dan merapatkan hubungan akar umbi.
“Ada kalanya, keputusan yang perlu kita ambil bukanlah yang paling mudah atau paling selesa, tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab.
“Saya tetap percaya, perjuangan ini bukan milik mana-mana individu. Ia milik kita semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.
Berkenaan tuduhan amalan nepotisme dalam PKR, Nurrul Izzah berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul sekiranya pengkritik memahami perbezaan antara “dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi.”
“Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.
“(Manakala) Ketika PH memenangi PRU ke-14, saya ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri, di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (ibu Nurul Izzah) selaku Timbalan Perdana Menteri.
“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun secara peribadi berasa terkilan berhadapan dengan tohmahan daripada kalangan ahli PKR sendiri yang menyentuh peribadinya, termasuk status perkahwinannya yang dijadikan ejekan kempen.
“Saya secara peribadi berasa terkilan bukan kerana tohmahan itu semata-mata, tetapi kerana ia datang dari dalam keluarga besar PKR sendiri.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan yang lain dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka.
“Ini parti yang telah kita bina bersama. Kita boleh bertembung idea dan berbeza pandangan sepanjang pemilihan ini, tetapi kekal lah dengan adab dan hikmah. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan, gelaran dan kata-kata kesat,” jelasnya.
Beliau kemudian menyeru semua anggota PKR untuk sama-sama membina semula kekuatan dalaman parti, menjaga idealisme dan membina jambatan dengan parti-parti komponen.
“Marilah bersama membugar semula semangat kekitaan dan keberanian mendepani cabaran menerusi pengukuhan organisasi dan keberadaan PKR di akar umbi.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR 2025-2028.
“Sekiranya perwakilan PKR merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab dan amanah besar ini, Insya Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi tercinta parti ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








