Polis Vietnam bongkar skim kripto palsu, kerugian cecah bilion
HANOI – Pihak berkuasa Vietnam membongkar satu skim penipuan mata wang kripto berskala besar yang dipercayai mengakibatkan kerugian berbilion dolar dengan tujuh individu termasuk dalang utama berjaya ditahan dalam operasi terkini.
Menurut kenyataan polis negara itu, sindiket memperdaya pelabur dengan menjual mata wang kripto palsu melalui platform dikenali sebagai ONUS yang sebelum ini digunakan secara meluas oleh jutaan pengguna di negara berkenaan.
Dalang utama, Vuong Le Vinh Nhan atau dikenali sebagai Eric Vuong ditahan bersama enam individu lain atas tuduhan penyelewengan harta dan pengubahan wang haram, memetik laporan media tempatan Vietnam.
Siasatan awal mendapati sejak 2018, kumpulan itu mencipta mata wang digital tidak sah sebelum memasarkan kepada pelabur tanpa pengetahuan mereka melalui platform tersebut.
Kebimbangan dalam kalangan pelabur mula memuncak apabila platform ONUS dilaporkan tidak lagi boleh diakses sejak 20 Mac lalu.
Polis memaklumkan mangsa mengalami kerugian mencecah ‘bilion dolar’ namun jumlah sebenar masih dalam siasatan.
Setakat ini, lebih 140 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan, selain usaha mengumpul maklumat tambahan daripada mangsa masih giat dijalankan.
“Pelabur digesa tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut pihak berkuasa, sindiket terbabit menggunakan taktik promosi agresif dan manipulasi bekalan serta permintaan bagi mengawal harga mata wang kripto palsu tersebut, sekali gus menarik lebih ramai pelabur sebelum sistem akhirnya runtuh.
Seorang mangsa yang enggan dikenali mendakwa mengalami kerugian lebih AS$15,000 (RM60,195), menyifatkan kejadian itu sebagai satu pengalaman yang amat mengecewakan.
Kes berkenaan berlaku ketika Vietnam muncul antara negara paling aktif dalam penggunaan aset digital, dengan firma analisis Chainalysis menganggarkan sekitar 17 juta rakyat negara itu memiliki kripto setakat 2025.
Walaupun teknologi blockchain tidak diharamkan sepenuhnya, penggunaan mata wang kripto sebagai alat pembayaran masih dilarang di Vietnam.
Larangan itu mewujudkan ruang undang-undang yang longgar dan membuka peluang kepada aktiviti spekulasi serta penipuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








