Polis terima 108 laporan berkaitan insiden letupan di Putra Heights
SUBANG JAYA – Pihak polis sudah menerima 108 laporan daripada mangsa letupan saluran paip gas di Putra Heights, kelmarin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebanyakan laporan diterima adalah berkaitan dengan kerosakan akibat kejadian tersebut.
Kelmarin, kawasan tersebut dikejutkan dengan letupan dan kebakaran disyaki berpunca akibat kebocoran paip gas yang memusnahkan ratusan rumah dan kenderaan di kampung serta kawasan perumahan berhampiran, selain mencederakan ramai orang.
“(Bagaimanapun) Setakat ini, tiada kes kecurian dilaporkan. Polis dan pihak kementerian komited untuk memastikan keselamatan kediaman serta membantu mangsa yang terjejas.
“Terdapat pelbagai laporan polis, kebanyakannya berkaitan kerosakan harta benda bagi tujuan tuntutan insurans. Kami menjangkakan lebih banyak laporan akan dibuat,” katanya.
Shamsul Anuar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, di sini hari ini.
Beliau turut menambah, pegawai dan anggota yang sedang bercuti Aidilfitri turut dipanggil kembali untuk bertugas bagi memastikan keselamatan awam dan harta benda di lokasi kejadian terjamin.
“Kami telah memanggil semula pegawai yang sedang bercuti Aidilfitri untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sehingga kini, seramai 116 anggota polis sedang bertugas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








