JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan 12 warga asing

Operasi susulan serbuan Imigresen di Sungai Lembing

KUANTAN – Polis menahan 12 warga asing susulan serbuan Jabatan Imigresen di sebuah pusat peranginan yang telah ditutup di Sungai Lembing yang dijadikan sebagai pusat panggilan (call centre) haram.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, penahanan seorang warga China yang tiba di pusat peranginan berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, telah membawa pihak polis ke lima lokasi lain, di mana mereka menahan 11 individu lagi, termasuk seorang wanita.

Jelas beliau, premis berkenaan terlebih dahulu dipantau anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) selepas menerima maklumat susulan serbuan Jabatan Imigresen, kelmarin.

“Seorang warga China berumur 35 tahun telah ditangkap semasa dia memasuki pusat peranginan tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis menyerbu lima lokasi lain di sini sebelum menahan 11 individu lagi.

“Kami menahan 10 warga China, seorang warga India dan seorang wanita warga Myanmar yang berusia antara 21 hingga 35 tahun.

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azry berkata, polis merampas 14 telefon bimbit, tujuh komputer, sebuah komputer riba (laptop), dua penghala Wi-Fi (Wi-Fi router) dan sebuah kenderaan dalam siri serbuan semalam.

Kesemua barangan dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM215,000.

“Sindiket tersebut dipercayai terlibat dalam penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di China dan Eropah.

“Ia mula beroperasi di Malaysia kira-kira dua bulan lalu dan bergantung kepada perkhidmatan internet tempatan.

“Sindiket berkenaan menyamar sebagai pusat khidmat pelanggan dan menggunakan aplikasi pelaburan dalam talian untuk memperdaya mangsa supaya melabur dalam skim tidak wujud dengan menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Polis membongkar rekod komunikasi antara ahli sindiket dan mangsa yang menunjukkan pelaburan ditawarkan menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jahat jenayah untuk menipu.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata seramai 98 individu, termasuk 95 warga asing, ditahan di pusat peranginan yang ditutup di Sungai Lembing itu, 5 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button