JENAYAH & MAHKAMAH

Polis cari kumpulan pengayuh basikal dirakam halang laluan bas

KUALA SELANGOR – Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dirakam menunggang basikal hingga menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala ke Sungai Buloh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menunggang secara berkumpulan di lorong kiri jalan sehingga dipercayai menghalang pergerakan bas berkenaan.

Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku kelmarin kira-kira pukul 9.35 pagi.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Azaharudin pada masa yang sama turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan menghormati hak serta keselamatan pengguna lain.

Terdahulu, video kejadian yang turut menjadi tular di media sosial itu memaparkan pertelingkahan antara pemandu bas dan kumpulan penunggang basikal terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button