Pokok tumbang: MBSA aktifkan audit kecemasan, periksa keseluruhan pokok matang
SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melantik pakar pokok atau arborist bertauliah bagi menjalankan audit kecemasan terhadap keseluruhan pokok matang di sekitar Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7 di sini, susulan insiden pokok tumbang yang menghempap kenderaan dinaiki dua pensyarah semalam.
Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata, pemeriksaan teknikal terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan pokok di kawasan berkenaan berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, pemeriksaan itu meliputi penilaian kesihatan struktur pokok, pemeriksaan sistem akar, pelaksanaan penandaan pokok serta pengesahan status risiko, pengemaskinian data sistem maklumat geografi (GIS) dan penyediaan laporan profesional berserta cadangan mitigasi.
“Sebarang pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi akan diambil tindakan serta-merta termasuk pemangkasan pengurangan kanopi atau penebangan pencegahan.
“Penilaian risiko pokok ini dilaksanakan berdasarkan pemerhatian fizikal meliputi tanda reput atau rekahan batang, keadaan kanopi tidak seimbang, serangan penyakit atau perosak, kecondongan abnormal serta keadaan tanah di pangkal pokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan dua pensyarah wanita Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam cedera selepas kenderaan jenis Mitsubishi Xpander dinaiki mereka dihempap pokok berhampiran sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub.
Dalam kejadian itu, Dr. Nur Shahidah Ab Aziz, 39, mengalami kecederaan di kepala manakala Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera di bahagian pinggang. Kedua-dua mangsa menerima rawatan lanjut di Hospital Shah Alam.
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, MBSA memandang serius insiden berkenaan dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta kesejahteraan orang awam.
Beliau berkata, sebagai langkah awal pengurusan insiden, MBSA melaksanakan kawalan serta-merta melalui penugasan anggota penguat kuasa di laluan terlibat serta penutupan sementara jalan bagi memastikan kerja pemantauan, pengalihan pokok tumbang dan pembersihan dapat dilaksanakan secara terancang, selamat serta terkawal.
“Untuk makluman, kerja penyelenggaraan berkala telah dilaksanakan sepanjang 2025 di Persiaran Tun Arshad Ayub yang merangkumi pemangkasan kanopi, pengurangan beban dahan, penebangan pokok mati serta pemantauan visual berkala terhadap pokok matang.
“Secara keseluruhan, puluhan pokok di lokasi tersebut telah dipangkas dan pokok mati ditebang mengikut keperluan teknikal pada awal Februari sebelum kejadian berlaku.
“MBSA akan memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara teliti, proaktif serta berperingkat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








