BERITA SEMASA

PM sindir Sanusi: Tak faham beza belanjawan dan bantuan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir secara terbuka Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat gagal memahami perbezaan asas antara “bantuan” dan “belanjawan” dalam pentadbiran kewangan negara.

Sindiran itu dibuat susulan kritikan Sanusi terhadap pengumuman bantuan tunai RM100 secara one-off kepada rakyat dewasa serta penurunan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 sempena Bulan Kemerdekaan.

“Saya ingin ambil sedikit masa untuk bantu Sanusi memahami perbezaan antara bantuan dan belanjawan adalah satu konsep asas pentadbiran yang barangkali sukar difahami beliau sepanjang menjadi Menteri Besar,” ujar Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa inisiatif bantuan tersebut bukan sebahagian daripada Belanjawan 2026 seperti yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan kemampuan fiskal semasa dan akan diagihkan mulai Ogos ini.

“Belanjawan 2026 hanya akan diguna pakai pada tahun hadapan, manakala penghargaan khas kepada rakyat ini dilaksanakan tahun ini,” katanya lagi.

Anwar turut menyentuh pelancaran gerakan Bersama Malaysiaku, sebuah inisiatif sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 bagi menyemarakkan semangat patriotik serta mengiktiraf peranan rakyat pelbagai latar belakang dalam membangunkan negara.

Melalui kempen ini, rakyat digalakkan merakam dan memuat naik gambar saat mereka menyumbang kepada negara melalui laman web rasmi bersamamalaysiaku.malaysiamadani.gov.my. Foto terpilih akan dipaparkan di platform media sosial rasmi kerajaan termasuk milik Perdana Menteri.

“Negara ini dibina atas rakyatnya. Dari sawah padi hingga pencakar langit, kemajuan Malaysia terbit daripada tangan-tangan biasa yang berbakti dengan luar biasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengulangi permohonan maaf kepada rakyat atas kelewatan menunaikan sebahagian janji sebelum beliau memegang tampuk pemerintahan, sambil merakamkan penghargaan atas sokongan dan kesabaran rakyat ketika kerajaan berusaha memperbaiki kerosakan akibat skandal lama seperti 1MDB.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button