PM lancar RPN 2026-2035 20 Januari, perkukuh mutu ekosistem pendidikan negara
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dalam usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem pendidikan negara dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
RPN 2026-2035 yang diterajui secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam satu kenyataan bersama, KPT dan KPM menyatakan pelancaran RPN 2026-2035 itu merupakan iltizam kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
“Di peringkat KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 adalah dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang, sebagai kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).
“RPTM 2026-2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan, merangkumi para sarjana, tokoh akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” jelas kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan itu lagi, RPTM 2026–2035 merupakan dokumen yang bersifat dinamik (living document) iaitu fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.
“Fokus utama pelan ini turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara (nation-builders) yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat (humanity-centric).
“Selain itu, integrasi teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) turut akan menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, RPTM 2026-2035 turut memfokuskan kepada keterangkuman akses dengan usaha memperluas pendidikan tinggi serta pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau.
Dalam pada itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui KPM pula akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara selaras dengan Visi KPM: Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.
Rancangan itu digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi dengan penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid dan transformasi pendidik.
Ia juga meliputi pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan
kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian,” jelasnya.
“Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dan RPM 2026–2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








