PKR beri tempoh akhir kepada Rafizi jelaskan dakwaan keluar parti
KOTA BHARU – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi tempoh sehingga esok kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi menjawab isu berhubung laporan bahawa beliau mengisytiharkan keluar daripada parti.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan pada 23 Februari lalu dan bekas Timbalan Presiden PKR itu diberi masa lima hari untuk mengemukakan penjelasan rasmi berhubung kedudukan serta hasrat sebenar beliau.
Menurutnya, kenyataan Rafizi mengenai kemungkinan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tanpa menggunakan tiket parti serta bayangan untuk meninggalkan PKR boleh menimbulkan persepsi wujudnya niat sedemikian.
“Apabila beliau menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU16 dan kemungkinan keluar daripada parti, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa sudah ada niat untuk berbuat demikian,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BBR) 2026 Zon Timur di sini hari ini.
Fuziah menjelaskan, surat berkenaan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi ruang kepada Rafizi untuk memperjelaskan keadaan sebenar sebelum sebarang tindakan lanjut dipertimbangkan.
Beliau menegaskan, perkara itu wajar diselesaikan mengikut perlembagaan parti, khususnya Fasal 9.1(c) yang menyentuh mengenai pengisytiharan seseorang anggota untuk keluar parti.
“Tempoh sehingga esok adalah adil dan memberi ruang sewajarnya supaya tidak berlaku sebarang tindakan tergesa-gesa tanpa penjelasan,” ujarnya.
Tambah beliau, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang dijadual berlangsung pada 1 Mac ini.
Baru-baru ini, dalam satu temu bual bersama media berbahasa Cina tempatan, Rafizi dilaporkan membayangkan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU16 walaupun tanpa sokongan PKR.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








