Piala Mirnawan: Lapan pasukan bersaing dalam kejohanan tahun ini
KUALA LUMPUR – Hanya lapan pasukan akan bersaing merebut Piala Mirnawan dalam kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 2 hingga 9 November ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya selaku penganjur terpaksa mengurangkan pasukan luar kerana kekangan kewangan.
“Banyak negara luar berminat menyertai kejohanan ini, namun kita perlu mengambil kira kemampuan kewangan semasa. Justeru, kami memilih pasukan yang diyakini mampu memberikan saingan berkualiti kepada pemain muda negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Subahan bagaimanapun menegaskan, pengurangan penyertaan itu tidak akan menjejaskan kemeriahan kejohanan yang kini memasuki edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2022.
“Tiada gunanya menganjurkan kejohanan sekadar untuk memenuhi jadual. Matlamat utama penganjuran ini adalah memberi pendedahan dan impak besar terhadap pembangunan pemain remaja negara,” katanya.
Bagi kategori lelaki bawah 18 tahun, kejohanan kali ini akan disertai oleh pasukan Malaysia Speedy, Malaysia Tiger, Jepun, Afrika Selatan serta dua pasukan dari Australia iaitu Queensland dan Croc One Active.
Sementara itu, bagi kategori wanita bawah 18 tahun pula, pasukan yang akan beraksi ialah Malaysia Tigress, Jepun, Afrika Selatan serta dua pasukan dari Australia, Queensland dan Croc One Active.
Semua pasukan akan bersaing dalam format liga sepusingan (round-robin) dengan dua pasukan teratas layak ke perlawanan akhir.
Piala Mirnawan merupakan kejohanan hoki jemputan antarabangsa anjuran Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama KHM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








