Perkhidmatan towing dijangka terjejas 3 hari susulan cadangan mogok
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan trak tunda atau ‘towing’ dijangka terganggu selama tiga hari bermula esok susulan cadangan mogok dalam kalangan pengusaha industri berkenaan bagi mendesak kerajaan memberikan subsidi diesel untuk kelangsungan operasi.
Dalam satu poster pemakluman dikeluarkan syarikat insurans, Zurich Takaful, antara kawasan yang dijangka paling terjejas adalah Lembah Klang dan berkemungkinan mogok terbabit turut memberi kesan di negeri lain di Semenanjung.
Pemakluman sama turut menyebut, waktu operasi trak tunda dalaman akan dilanjutkan bagi membantu pelanggan dengan perkhidmatan secara berjadual dibuat berdasarkan ketersediaan perkhidmatan.
Selain itu, pelanggan juga boleh mengatur trak tunda sendiri melalui pihak ketiga disebabkan gangguan operasi perkhidmatan dengan tuntutan semula boleh dibuat mengikut terma dan syarat ditetapkan.
Sementara itu, BH Online melaporkan, Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) mendesak kerajaan supaya bertindak segera dengan menambah baik mekanisme subsidi diesel bagi memastikan khidmat industri trak tunda tidak lumpuh.
Presiden PERWATAM, Datuk Khairi Anuar Ahmad dalam satu kenyataan menegaskan, sokongan dasar yang lebih realistik amat diperlukan bagi memastikan industri trak tunda terus beroperasi.
“PERWATAM menegaskan bahawa tindakan segera tanpa kompromi perlu dilaksanakan oleh semua pihak.
“Sebarang kelewatan lanjut adalah tidak boleh diterima dan hanya akan memburukkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan insurans dan takaful di Malaysia,” katanya.
Khairi Anuar menambah, PERWATAM turut mendesak semua syarikat pengendali insurans dan takaful am supaya segera menyemak serta melaraskan kadar bayaran kepada operator bantuan tunda.
Katanya, ini berikutan caj sedia ada tidak mencerminkan kos operasi sebenar dengan kegagalan menyesuaikan tarif menjejaskan keupayaan operator berfungsi secara efektif, seterusnya menyebabkan kelewatan bantuan, gangguan perkhidmatan dan peningkatan risiko keselamatan kepada pelanggan di lapangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













