LUAR NEGARA

Kesihatan merosot, aktivis mogok lapar dipindahkan ke hospital oleh polis Delhi

NEW DELHI – Polis Delhi membawa aktivis terkenal India, Sonam Wangchuk ke hospital hari ini selepas kesihatannya dilaporkan semakin merosot akibat mogok lapar yang memasuki hari ke-20 bagi membantah sistem peperiksaan negara itu.

Wangchuk, 59, memulakan mogok lapar sejak 28 Jun lalu bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan susulan dakwaan berlakunya penyelewengan dalam peperiksaan kemasukan ke institusi perubatan.

Dalam satu kenyataan, polis Delhi berkata, tindakan memindahkan Wangchuk ke hospital dibuat atas arahan Mahkamah Tinggi Delhi dan nasihat pakar perubatan.

“Selaras dengan arahan mahkamah serta nasihat doktor berikutan keadaan kesihatan Sonam Wangchuk yang semakin merosot, beliau telah dipindahkan ke hospital bagi menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

“Ketika proses itu dijalankan, beberapa penunjuk perasaan cuba menghalang anggota polis sehingga berlaku sedikit kekecohan,” menurut kenyataan tersebut.

Polis turut menggesa semua peserta protes yang berkumpul di Jantar Mantar supaya mengosongkan kawasan itu secara aman secepat mungkin.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana tegang apabila anggota polis bergegas membawa Wangchuk turun dari pentas menggunakan kain putih, sementara penyokongnya cuba menghalang tindakan berkenaan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Delhi mengarahkan doktor kerajaan memantau keadaan kesihatan Wangchuk setiap hari selepas menerima petisyen yang memberi amaran bahawa aktivis itu mungkin tidak dapat bertahan lama sekiranya terus berlapar.

Mahkamah menegaskan bahawa nyawa setiap rakyat adalah amat berharga dan mengarahkan segala bentuk rawatan yang diperlukan diberikan bagi menyelamatkan Wangchuk.

Beberapa jam sebelum dibawa ke hospital, Wangchuk berkata, perjuangan yang dipimpinnya bukan sekadar mengenai dirinya, sebaliknya demi masa depan sistem pendidikan negara.

“Pergerakan yang lebih kecil pernah menjatuhkan banyak kerajaan di India dan kali ini ia adalah mengenai pendidikan,” katanya.

Selain Wangchuk, beberapa ratus pelajar turut menyertai mogok dan protes di Jantar Mantar, manakala gerakan dalam talian turut menganjurkan beberapa siri bantahan sebagai tanda solidariti.

Protes itu tercetus selepas kira-kira 2.2 juta calon peperiksaan perubatan terpaksa menduduki semula peperiksaan bulan lalu susulan kebocoran soalan, selain kontroversi pemarkahan peperiksaan sekolah menengah yang mencetuskan kemarahan rakyat.

Beberapa pemimpin parti pembangkang turut menyatakan sokongan terhadap Wangchuk dan kumpulan pelajar yang menuntut pembaharuan sistem peperiksaan di India.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button