Perkhidmatan KTM komuter Butterworth – Ipoh alami kelewatan
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan KTM Komuter Utara No. 2913 bagi laluan Butterworth ke Ipoh dilaporkan mengalami kelewatan petang semalam berikutan kegagalan teknikal pada bahagian pantograf set tren TCS33 yang berlaku di antara laluan Bukit Mertajam dan Simpang Ampat.
Menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) , kejadian tersebut terkawal apabila pihaknya segera mengambil tindakan susulan dan menyalurkan maklumat penting kepada para penumpang.
“Sepanjang insiden ini, penumpang telah dimaklumkan oleh pemandu tren KTM Komuter melalui hebahan secara langsung di setiap koc, manakala pengumuman berkaitan gangguan perkhidmatan turut dibuat di stesen-stesen terlibat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
KTMB memaklumkan tindakan segera telah diambil dengan mengatur tren bantuan menggunakan set tren ETS yang telah berlepas dari lokasi kejadian pada pukul 6.30 petang dan selamat tiba di destinasi akhir (Stesen Ipoh) pada pukul 8.00 malam tadi.
Selain itu, kakitangan bertugas turut ditempatkan di lokasi bagi membantu serta memantau pergerakan penumpang sepanjang proses pemindahan.
Sementara itu, pihak KTMB turut memohon maaf kepada semua penumpang.
“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami sepanjang tempoh gangguan ini. Segala kesabaran dan kerjasama para penumpang amat dihargai,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





