BERITA SEMASA

Perang meriam Kampung Talang gegar Kuala Kangsar setiap malam raya

KUALA KANGSAR – Dentuman meriam yang menggegarkan suasana malam menjelang Aidilfitri kembali menjadi tarikan di Kampung Talang, di sini apabila tradisi ‘perang’ meriam yang berusia lebih satu abad diteruskan oleh penduduk setempat.

Menerusi perkongsian di Facebook Jejak Air Tawar, aktiviti yang menjadi identiti daerah itu menyaksikan kira-kira 10 batang meriam dipasang oleh beberapa kumpulan di kawasan sawah yang luas di kampung berkenaan.

Meriam Kampung Talang
Beberapa pemuda mengendalikan persiapan meriam di kampung tersebut.

“Bunyi dentuman dan gegarannya boleh didengari sehingga sejauh 15 kilometer (km) dari lokasi ia dimainkan.

“Malah, ada yang laporkan masih boleh didengari sejauh 20km. Ini salah satu aktiviti yang menjadi identiti daerah Kuala Kangsar di malam raya semenjak 100 tahun yang lalu,” katanya.

Tambahnya, tradisi tersebut diadakan sebagai tanda meraikan kepulangan anak perantau serta menghidupkan suasana malam raya apabila ahli keluarga berkumpul di kampung halaman selepas lama berjauhan.

“Tiada sebarang kepercayaan karut di dalam acara ini seperti yang dinyatakan oleh beberapa pihak sebelum ini.

“Kepada sesiapa yang ingin berkunjung untuk melihat dan merasai sendiri saya ada sediakan link ke lokasi di komen, ia tidak jauh dari Plaza Tol Kuala Kangsar,” katanya lagi.

Meriam Kampung Talang
Deretan meriam yang bakal memecah kesunyian malam dan dentumannya boleh didengari sehingga 15km dari lokasi.

Acara bermain meriam itu biasanya bermula sekitar pukul 10 malam atau tengah malam dan berlanjutan sehingga awal pagi, dengan aktiviti dihentikan sementara ketika solat Subuh sebelum disambung seketika sebelum solat sunat Aidilfitri.

Ia kemudian berakhir apabila masuk waktu solat Aidilfitri pada pagi hari raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button