BERITA SEMASA

Pendaftaran dibatal: PAPPSMA umum pembubaran

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSPMA) hari ini mengumumkan persatuan tersebut dibubarkan secara rasmi selepas menerima surat pembatalan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). 

Menurut bekas Setiausaha Agung PAPSPMA, Dr. Sukumaran N.K. Nair, permohonan pembatalan pendaftaran telah dikemukakan kepada ROS Kuala Lumpur pada 21 Mac 2024 dan surat pengesahan pembatalan diterima pada 3 Mei 2024.

“Keputusan membubarkan pertubuhan itu diambil selepas menilai bahawa aktiviti yang dijalankan tidak lagi seiring objektif penubuhan PAPSPMA sejak 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, PAPSPMA turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) atas sokongan serta tunjuk ajar sepanjang tempoh operasi persatuan berkenaan.

Katanya, PAPSPMA menyifatkan kerjasama kedua-dua kementerian sebagai elemen penting yang banyak membantu industri perkhidmatan agensi pekerja swasta.

“Walaupun PAPSPMA tidak lagi beroperasi, peranan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen kekal kritikal dalam memastikan proses pengrekrutan serta kemasukan pekerja asing berjalan secara bersistem, telus dan mematuhi dasar kerajaan.

“Keberhasilan menjaga kebajikan pekerja asing serta memastikan kepentingan negara terus terpelihara bergantung kepada proses yang disusun di bawah pemantauan KDN dan KSM,” ujarnya.

Mengambil kira keperluan industri, katanya, PAPSPMA mencadangkan agar satu persatuan atau badan penyelaras baharu ditubuhkan bagi memperkukuh peranan APS.

Katanya, badan baharu itu disaran memberi tumpuan kepada isu pengrekrutan, kemasukan pekerja asing, dan pelaksanaan Program Lesen Penggajian Sementara (PLKS) agar lebih berkesan.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk berganding bahu demi memelihara integriti industri pengrekrutan,” katanya sambil menegaskan perlunya semua agensi berlesen terus mematuhi ketetapan KDN dan KSM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button