BERITA SEMASA

Pemuda UMNO gesa Azam Baki direhatkan

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menggesa supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki direhatkan sementara siasatan dijalankan terhadapnya.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu penting bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah.

“Dengan penuh hormat dan tegas, Pemuda mencadangkan supaya jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.

“Ini bukan soal mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi soal memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan “kerajaan menyiasat kerajaan”.

“Dalam masa yang sama, bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah, langkah paling bertanggungjawab ketika siasatan sedang berjalan ialah merehatkan sementara Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

akmal
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.

Menurut Dr Akmal, ini adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti.

“Perlu diingat, ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.

“Kepada Azam Baki, prinsipnya mudah berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat.

“Namun jika sebaliknya berlaku, maka proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi. Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras.

“Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan dan kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.

Baru-baru ini media antarabangsa, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, Azam sebelum ini menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang perkara yang disembunyikan kerana pegangan saham itu telah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun yang sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button