BERITA SEMASA

Pemuda mohon maaf hina bomba ketika kebakaran Kampung Bahagia

SANDAKAN – Seorang lelaki tampil memohon maaf selepas video memaparkan dirinya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bomba ketika insiden kebakaran besar di Kampung Bahagia, di sini, tular di media sosial.

Rozaizar Rozainie, 39, berkata, tindakannya itu berlaku dalam keadaan emosi tidak stabil dan tertekan selepas melihat suasana kelam-kabut, termasuk kanak-kanak yang panik apabila api marak merebak.

“Ketika itu saya sangat terkilan melihat kanak-kanak berlari tanpa arah apabila api semakin menghampiri kawasan ini.

“Saya tidak sedar telah mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya memetik laporan Bernama.

hina bomba
Rozaizar mengakui kesilapannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bomba.

Menurutnya, beliau kemudian menarik semula kata-kata tersebut selepas memahami situasi sebenar di lokasi serta menyedari usaha pasukan bomba yang bertungkus-lumus memadam kebakaran.

“Saya tidak nampak sepenuhnya operasi ketika itu… rupa-rupanya anggota bomba berada di bahagian belakang membantu memadamkan api,” katanya.

Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia pada Ahad lalu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di kawasan seluas lebih empat hektar, sekali gus menjejaskan ribuan penduduk.

Sebelum ini, pihak bomba memaklumkan operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit, ketiadaan pili bomba dan angin kencang yang mempercepatkan kebakaran.

Dalam perkembangan sama, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan seramai 1,912 mangsa daripada 385 keluarga kini ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

kebakaran
Sebahagian rumah yang musnah akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.

Mangsa ditempatkan di beberapa PPS termasuk Dewan Program Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Dewan SK Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, Dewan Sibuga dan SK Karamunting yang dibuka sejak Ahad.

Dua lagi PPS dibuka pada Isnin iaitu Dewan Serbaguna Warga Tua dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hwa bagi menampung peningkatan mangsa.

Menurut kenyataan itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button