RENCANAPENDAPAT

Pemindahan ilmu dan teknologi untuk kawal banjir

Oleh DR SITI SURIANI OTHMAN

BANJIR di musim tengkujuh itu bukan sesuatu yang luar biasa di Malaysia terutama di bahagian Pantai Timur negara.

Ketika musim ini, bukan hanya nelayan diduga dari segi pendapatan tetapi bah yang melanda meletihkan semua.

Tidak kira yang kecil atau besar, tua dan muda, hampir semua yang terlibat banjir rasa lelahnya diancam bahaya, kehilangan harta benda dan nyawa serta keletihan membersihkan rumah setiap tahun.

Fenomena ini seolah-olah menunggu giliran kawasan mana yang akan terjejas terlebih dahulu.

Setiap tahun banjir yang melanda negeri-negeri di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia menyebabkan kerugian harta benda dan nyawa.

Daripada pelbagai laporan media tempatan tahun ini, Kelantan menjadi negeri terawal terkesan banjir apabila petani sawah padi melaporkan kerugian lebih RM1 juta akibat bencana berulang ini.

Kerugian boleh dicatat lebih tinggi terutama dalam kes-kes banjir besar seperti banjir besar Pantai Timur pada 2014 yang melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM2.9 billion.

Ia termasuklah kerosakan rumah, infrastuktur dan kemudahan-kemudahan awam lain dengan lebih 200,000 penduduk terjejas dan memerlukan bantuan segera serta bantuan jangka panjang.

Selain itu, sektor pertanian dan perladangan turut terjejas yang mencecah ratusan juta ringgit.

Dengan rekod ini, maka perbincangan dan tindakan untuk mengatasi masalah banjir harus dilakukan secara konsisten dan bukan hanya ketika diancam banjir.

Persoalan asas yang utama ialah mengetahui bagaimana banjir sedahsyat ini boleh berlaku?

Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan banjir. Antaranya ialah hujan lebat, sistem saliran yang tidak terancang, tersumbat dan tidak berkesan, pembangunan tanpa perancangan rapi serta kenaikan paras air sungai dan paras air laut.

Untuk mengatasi cabaran tahunan ini, Malaysia turut mengambil langkah-langkah mitigasi banjir termasuklah membangunkan infrastruktur kawalan banjir.

Terowong SMART merupakan salah satu daripada projek mega negara bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur.

Ia termasuklah seperti membina empangan dan kolam takungan air, membina sistem terowong air seperti SMART Tunnel di Kuala Lumpur, kawalan terhadap aktiviti pembangunan, memelihara alam sekitar terutama pemulihan kawasan tadahan hujan serta mendidik komuniti tentang langkah keselamatan yang perlu cakna ketika banjir.

Banyak tindakan mitigasi telah kita laksanakan sebenarnya, namun masalah banjir masih melanda kita seperti tiada penghujungnya.

Maka mungkin kita boleh melihat bagaimana beberapa negara seperti Belanda dan Jepun mengatasi masalah banjir di negara berkenaan.

Mungkin kita lihat dahulu sebagai satu bentuk ilmu, kemudian boleh dikaji lebih mendalam oleh mereka yang arif dalam bidang ini.

Belanda adalah sebuah negara yang berada separuh daripada tanahnya berada di bawah paras laut.

Kedudukannya yang rendah membawa ancaman banjir kepada negara itu dan menjadikannya negara paling moden dari segi pengurusan banjir.

Sistem kawalan banjirnya yang dikenali sebagai Delta Works merangkumi rangkaian empangan, pintu air dan tambak yang mengawal aliran air dari laut utara ke kawasan darat.

Pintu air dibina untuk melindungi kawasan daripada kenaikan paras air ketika ribut melanda.

Keberkesanan Delta Works ini menjadikannya digelar sebagai salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Moden oleh American Society of Civil Engineers.

Projek Delta Works di Belanda merangkumi rangkaian empangan, pintu air dan tambak yang mengawal aliran air dari laut utara ke kawasan darat.

Selain itu, teknologi mereka juga berupaya mengawal air sungai yang melimpah dengan menambah kawasan tadahan air.

Di samping itu, Belanda juga mengelakkan sebarang pembinaan di kawasan rendah dan pesisir pantai selain mengadakan pelbagai program pendidikan dan kesedaran awam untuk warganya.

Di Jepun pula, teknologi terkininya membantu menangani banjir yang sering hadir bersama-sama taufan dan hujan lebat.

Projek G-Cans atau Greater Tokyo Drainage System merupakan rangkaian terowong bawah tanah yang besar dengan kolam takungan untuk menyalurkan air hujan dari kawasan bandar ke sungai.

Kolam takungan ini mampu menampung sejumlah 670,000 meter padu air dalam satu-satu masa. Empangan juga dibina untuk mengawal aliran sungai dan kolam takungan membantu mengawal limpahan air ketika hujan lebat.

Projek G-Cans atau Greater Tokyo Drainage System merupakan rangkaian terowong bawah tanah yang besar dengan kolam takungan untuk menyalurkan air hujan dari kawasan bandar ke sungai.

Selain itu, sistem amaran awal di Jepun juga sangat maju. Mereka menggunakan radar dan teknologi satelit untuk memantau cuaca supaya dapat memberi amaran awal banjir kepada penduduknya.

Keberkesanan ini menjadikan Tokyo, salah sebuah bandar raya paling padat populasinya di dunia berjaya mengelakkan banjir besar yang sering mengancam bandar-bandar urban lain.

Daripada pengalaman Belanda dan Jepun ini, mungkin kita boleh memperbaiki teknologi empangan, terowong dan tambak sedia ada di negara ini.

Memang sudah ada pelbagai langkah mitigasi banjir yang dilaksanakan dan berkesan di Malaysia, namun kita masih berhadap ia dapat ditambahbaik.

Sistem SMART Tunnel misalnya mungkin boleh dibangunkan di bandar-bandar besar lain seperti di Johor Bahru dan Kota Bharu yang sering diancam banjir.

Kapasiti empangan dan kolam takungan di kawasan berisiko tinggi perlu ditingkatkan seperti di Sungai Kelantan dan Sungai Pahang.

Kawasan-kawasan paya bakau dan hutan bakau dipulihara terutama di pantai barat dan pantai timur.

Sistem amaran awal di Malaysia juga boleh diperluas dengan menggunakan teknologi khusus untuk memberi amaran yang sangat cepat ke semua negeri.

Pendidikan kesedaran banjir pula boleh dilaksanakan dengan lebih sistematik dan bersasar misalnya di sekolah-sekolah di kawasan yang sering dilanda banjir.

Kesemua cadangan ini akan mampu dilaksanakan andai ada kerjasama daripada pihak kerajaan, pihak swasta dan masyarakat setempat serta mempunyai dana yang mencukupi.

Pemindahan ilmu dan teknologi mungkin perlu dilaksanakan daripada negara-negara yang telah jelas berjaya mengawal banjir di tempat mereka, menerusi ramai ilmuan dan pembuat polisi yang ada.

Kita mengharapkan akan ada sinar bahagia menanti bagi kawasan-kawasan terkenal banjir di negara ini agar sejahteralah penduduknya tanpa bah banjir dan bah air mata.

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button