SUKAN

Pemalsuan dokumen 7 pemain warisan: FAM akan buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis berhubung pemberian kewarganegaraan Malaysia dan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu diambil sepertimana yang disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh Tun Md Raus Sharif.

“FAM juga akan melakukan penambahbaikan dalam tadbir urus pendaftaran pemain warisan dan akan memastikan isu kecuaian dan pemalsuan dokumen tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan hasil laporan daripada ICC yang telah mengenal pasti dua isu utama iaitu pemberian kewarganegaraan Malaysia dan pemalsuan/penipuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya.

Sehubungan itu ICC telah mengesyorkan FAM untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan, melakukan penambahbaikan dalam tadbir urus pendaftaran pemain warisan dan memastikan isu pemalsuan dokumen tidak berulang serta menjaga reputasi dan integriti bola sepak Malaysia.

Sementara itu mengulas mengenai
penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman katanya, ia masih diteruskan dan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama juga, katanya FIFA akan menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap Noor Azman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button