BERITA SEMASA

Pelaksanaan PdPR di Pendang, Kota Setar dilanjut jika suhu kekal tahap 2

ALOR SETAR – Pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di daerah Pendang dah Kota Setar akan dilanjutkan sekiranya suhu harian di kedua-dua daerah berkenaan kekal pada Tahap 2 bermula hari ini sehingga Selasa.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa bacaan suhu harian yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum membuat sebarang keputusan.

Setakat ini, katanya, seramai 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR yang bermula hari ini, merangkumi 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.

Beliau turut memaklumkan bahawa kemungkinan PdPR akan dilaksanakan di daerah Baling bermula esok sekiranya bacaan suhu yang dicatatkan hari ini berada pada Tahap 2.

“JPN membuat persediaan, sebenarnya semua sekolah terutama sekali guru telah membuat persediaan lebih awal sebab kita telah bagi peringatan berkaitan kemungkinan berlaku penutupan sekolah disebabkan cuaca panas ini mulai hari Rabu minggu lepas.

“(Ini) disebabkan pemantauan yang kita akan buat pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu akan menentukan keputusan pada hari Ahad.

“Tetapi kalau kekal 37 darjah Celsius tiga hari berturut-turut seperti mana yang terdapat dalam Garis Panduan Pengurusan Sekolah dalam cuaca panas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, maka PdPR akan diteruskan,” katanya.

Abdul Rahim berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, di sini hari ini.

Menurut beliau, sekolah berkenaan mengadakan sesi PdP secara hidbrid iaitu secara fizikal bagi pelajar Tingkatan Lima yang tinggal di asrama serta secara PdPR melibatkan pelajar-pelajar lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button