Pelakon veteran Papa Rawi meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi artis veteran apabila pelakon dan penerbit, Mohd Rawi Mohamed Said atau lebih dikenali sebagai Papa Rawi, 83, meninggal dunia di kediamannya di ibu negara, awal pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez.
Menurut Sandakiah, Allahyarham yang menghidap penyakit asma, jantung dan hernia dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 3 pagi.
“Allahyarham sempat memanggil isterinya selepas mengalami sesak nafas.
“Isterinya, Zarela Abdul Kadir kemudian memberikan bantuan awal dengan menyapu ubat sebelum menyedari keadaan suaminya semakin lemah,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, usaha menghubungi jiran untuk mendapatkan bantuan turut dilakukan, namun Allahyarham sudah berada dalam keadaan nazak ketika bantuan tiba.
Difahamkan, anak pasangan itu yang berada di Johor Bahru sempat bergegas pulang ke Kuala Lumpur selepas menerima berita pemergian tersebut.
Sebelum bergiat aktif dalam dunia seni, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pengurus Bank Bumiputera (kini CIMB) di Sabah.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat Jumaat.
Allahyarham pernah membintangi beberapa drama seperti Remuk, Kecoh Kahwin dan Dilema Dania.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















