Kanak-kanak lemas di kolam renang meninggal dunia selepas 16 jam dirawat
MELAKA – Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi-manda di kolam renang sebuah pangsapuri inap di Taman Kota Syahbandar semalam, disahkan meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka.
Berita pemergian mangsa yang berusia tujuh tahun dikongsikan oleh bapanya menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.
Dia memberitahu, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk disemadikan.
“Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman. Allah lebih sayangkannya, mohon doa semua sahabat permudahkan urusan kami.
“Jika tiada halangan jenazah akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk dikebumikan di sana,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas ketika mandi-manda di kolam sebuah pangsapuri inap di Taman Kota Syahbandar pukul 9.45 pagi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd. Zahery Mohd. Zailani, setiba di lokasi, bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) telah diberikan kepada mangsa, namun kanak-kanak itu masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee kemudian mengesahkan mangsa dimasukkan ke PICU Hospital Melaka dan bergantung kepada bantuan alat pernafasan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








