Pelajar nafi dibuli, kejadian satu gurauan sempena hari lahirnya
KUCHING – Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang dirakam dalam satu video tular seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal menafikan dirinya dibuli.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, pelajar itu bersama ibu bapanya telah hadir ke balai polis untuk menjelaskan bahawa kejadian itu hanyalah gurauan rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lalu.
Dia turut memberitahu polis bahawa kejadian itu berlaku tanpa sebarang unsur paksaan atau penderaan.
“Sehubungan itu, polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta semua pelajar berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun yang terbabit dalam rakaman video itu untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.
“Polis akan terus memantau perkembangan kes ini, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata, pihak IKBN Miri juga telah mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan pihak institut juga memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelajar terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya menyalurkan maklumat relevan terus kepada polis bagi tindakan sewajarnya.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 13 saat yang memperlihatkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.
Video itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat serta spekulasi berhubung kemungkinan berlaku kejadian buli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







