BERITA SEMASA

Pelajar Kolej Komuniti Tampin raih pengiktirafan di pentas kecantikan antarabangsa

KUALA LUMPUR – Tiga pelajar Program Sijil Terapi Kecantikan dan Spa (STK) Kolej Komuniti Tampin (KKTNS) mencipta kejayaan membanggakan apabila model yang disolek mereka meraih anugerah Best Talent Award dalam pertandingan Wedding Heritage & Pop Art Make Up Competition sempena International Beauty Expo (IBE) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.

Pelajar yang mewakili KKTNS ialah Siti Zubaidah Yusoff Abdullah, Nur Syafiqah Alya Mohd Hafizi dan Nur Syahirah Damia Muhd Ruslan yang dibimbing oleh pensyarah program, Noorhidalys Atan dan Nurul Ashila Jamil.

Pertandingan anjuran Malaysia Bumiputera Makeup Artist Association (MBMUAA) itu menghimpunkan jurusolek profesional serta bakat baharu dari seluruh negara bagi mengetengahkan kreativiti, inovasi dan kemahiran dalam bidang solekan.

kolej komuniti
Dua orang model memperagakan busana dan solekan oleh pelajar yang terlibat.

Penyertaan tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan buat Program STK apabila pelajar berpeluang mempamerkan kreativiti, kemahiran teknikal serta bakat mereka di pentas pertandingan berprestij yang menjadi platform pendedahan kepada standard industri kecantikan.

Dalam pertandingan itu, para peserta dikehendaki menghasilkan solekan bertemakan Wedding Heritage dan Pop Art sekali gus menguji keupayaan mereka dari aspek kreativiti, ketelitian, teknik solekan, interpretasi tema serta profesionalisme sebagai jurusolek.

Hasil sentuhan kreatif pelajar KKTNS, model yang disolek berjaya dinobatkan sebagai penerima Best Talent Award, membuktikan kemampuan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk bersaing di pentas profesional.

kolej komuniti
Para peserta perlu menghasilkan solekan bertemakan Wedding Heritage dan Pop Art yang menguji keupayaan mereka dalam pelbagai aspek sebagai jurusolek.

Menurut Noorhidalys selaku pensyarah pengiring, penyertaan dalam pertandingan seumpama itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah dalam suasana pertandingan sebenar, selain meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan kehendak industri.

“Penyertaan ini bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform kepada pelajar untuk mengasah kreativiti, meningkatkan profesionalisme serta membina pengalaman berharga yang akan menjadi nilai tambah apabila melangkah ke alam pekerjaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Selain menguji kemahiran teknikal, pertandingan tersebut turut mendedahkan pelajar kepada standard industri, pengurusan masa, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang merupakan elemen penting dalam bidang kecantikan dan spa.

Sementara itu, Pengarah KKTNS, Ahmad Syukri Mohamed Yunus berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen kolej berkenaan dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, kreatif dan berdaya saing selaras dengan keperluan industri kecantikan negara.

“Pihak kolej berharap pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh reputasi KKTNS sebagai institusi TVET yang melahirkan tenaga kerja profesional dalam bidang kecantikan dan spa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button