JENAYAH & MAHKAMAH

Promosi ayam RM5 makan diri, jururawat rugi ribuan ringgit

KUCHING – Seorang jururawat kerugian RM6,770 selepas terpedaya dengan tawaran promosi ayam RM5 dalam satu kes penipuan pembelian dalam talian, semalam.

Mangsa berusia 49 tahun membuat laporan di Balai Polis Bau pada pukul 4.11 petang semalam setelah menyedari wang dalam akaun banknya telah dipindahkan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman, berkata mangsa yang berada di rumahnya di Kampung Skio, Bau, terpedaya dengan iklan jualan ‘Ayam Fresh Premium’ di Facebook pada pukul 8 pagi semalam, lalu membuat pesanan setelah tertarik dengan harga murah yang ditawarkan.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp bagi urusan pembelian ayam yang diiklankan.

“Kemudian mangsa diminta membuat pembayaran RM5 menerusi pautan yang diberikan, namun gagal berbuat demikian sebelum diarahkan memuat turun aplikasi dan membuat pembayaran secara manual menggunakan kaedah tunai semasa penghantaran (COD).

“Mangsa mengikut arahan diberikan termasuk memuat turun aplikasi berkenaan serta mengemas kini tetapan COD seperti diminta bagi melengkapkan proses pembelian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian menerima mesej daripada sebuah bank yang memaklumkan akaunnya disekat sementara.

“Selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaunnya sudah dipindahkan ke akaun bank lain atas nama seorang lelaki,” katanya.

Mangsa bagaimanapun tidak menerima ayam yang dibeli dan segala usaha menghubungi semula nombor telefon berkenaan gagal kerana tiada sebarang maklum balas diterima.

Berikutan itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mangsa yang mengetahui peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) turut menghubungi talian 997 pada hari sama bagi membuat aduan berhubung kejadian itu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button