PBAKL: Buku baharu Agensi Nuklear dedah potensi teknologi nuklear dalam pertanian
KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa literasi sains dan teknologi dalam kalangan rakyat terus dipergiat apabila Agensi Nuklear Malaysia melancarkan sebuah buku ilmiah berjudul “Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan”.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof berkata, penerbitan buku itu adalah sebahagian daripada inisiatif kementeriannya bagi memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap aplikasi teknologi nuklear secara aman serta menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.
Beliau berkata, MOSTI komited untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara melalui penerbitan bahan ilmiah yang mampu meningkatkan kesedaran serta literasi masyarakat terhadap teknologi strategik, termasuk teknologi nuklear.
“Teknologi nuklear berpotensi besar untuk diterapkan dalam sektor strategik seperti pertanian, industri, perubatan dan alam sekitar.
“Penerbitan buku ini bukan hanya merakam hasil penyelidikan tempatan, malah mengangkat usaha kerajaan dalam menyampaikan ilmu dan inovasi secara inklusif kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga : MOSTI lancar Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Semenanjung
Terdahulu, Mohammad Yusof melancarkan buku berkenaan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan dan Sasterawan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan.
Untuk rekod, buku tersebut memberi tumpuan kepada teknik biak baka mutasi sinaran dalam penghasilan varieti tanaman hiasan baharu.
Difahamkan, teknologi tersebut telah diterapkan di Malaysia lebih 30 tahun lalu dan berjaya menghasilkan lebih 30 mutan tanaman, dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada tanaman hiasan berbunga dan landskap.
Selain itu, buku tersebut turut mengandungi penerangan menyeluruh tentang konsep biak baka mutasi, kaedah pelaksanaan serta dokumentasi varieti tanaman yang telah dibangunkan oleh penyelidik tempatan.
Ia sekali gus mampu memberikan nilai tambah kepada industri florikultur yang dikenal pasti sebagai sektor pertanian bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


