MOSTI lancar Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Semenanjung
PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melakar satu lagi sejarah dalam perkembangan teknologi tenaga hijau apabila melancarkan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Semenanjung Malaysia, hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, meskipun skala pengeluaran hidrogen di MHRS itu masih kecil iaitu dengan kapasiti sekitar 50 kilogram sehari, pelancarannya merupakan satu titik permulaan penting ke arah pembangunan ekosistem ekonomi hidrogen negara.
“Dengan adanya tiga buah kereta Toyota Mirai serta dua buah bas hidrogen yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, kita menjangkakan penggunaan MHRS ini akan terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MHRS di Presint 2, di sini.

Menurut Lih Kang, MHRS bukan sahaja membekalkan bahan api bersih malah berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi teknologi hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif.
“Teknologi ini sudah wujud dan kita telah menyaksikan sendiri bagaimana ia boleh digunakan untuk menggerakkan kenderaan.
“Namun, kita perlu terus meningkatkan kemahiran serta membangunkan ekosistem pengguna dan pembekal,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, projek rintis itu melibatkan kos pembangunan kira-kira RM15 juta, dengan RM12 juta dibiayai oleh kerajaan dan selebihnya oleh pihak swasta.
Katanya, buat masa ini hanya model Toyota Mirai digunakan sebagai kenderaan pengguna MHRS di Semenanjung.
“Kita berada di fasa pertama pelan hala tuju teknologi hidrogen negara. Projek ini lebih kepada usaha pameran (showcase).

“Menjelang 2030, kita sasarkan untuk memasuki fasa seterusnya dengan kenderaan FCEV (Fuel Cell Electric Vehicle) yang menggunakan gas hidrogen di atas jalan raya,” jelas Chang.
Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak agensi termasuk pihak berkuasa tempatan akan mula menggunakan kenderaan berasaskan hidrogen pada masa akan datang.
Setakat ini, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang telah mengoperasikan stesen hidrogen tetap.
Pelancaran MHRS di Semenanjung dijangka mempercepat penyebaran teknologi ini di seluruh negara.
“Apabila teknologi menjadi lebih maju, kos akan dapat dikurangkan. Bila wujud ekonomi skala, harga hidrogen dan teknologi yang berkaitan akan menjadi lebih mampu milik,” ujarnya.
MHRS di Semenanjung ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih luas masyarakat dan industri dalam usaha negara menuju masa depan rendah karbon dan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








