LUAR NEGARA

Pasangan pengantin maut dalam tragedi letupan silinder gas di Islamabad

ISLAMABAD – Tidak sampai 24 jam bergelar suami isteri, sepasang pengantin baharu maut selepas tong gas meletup di sebuah rumah yang turut mengorbankan enam individu lain, menurut laporan BBC.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) semalam, sejurus pasangan berkenaan selesai mengadakan majlis perkahwinan mereka sehari sebelumnya.

Enam lagi mangsa yang terkorban terdiri daripada ahli keluarga dan tetamu yang menginap di rumah tersebut, manakala lebih 12 individu lain dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pengantin maut
Beberapa petugas keselamatan memeriksa keadaan sebuah rumah yang rosak teruk akibat letupan berkenaan.

Letupan kuat itu mengakibatkan bumbung rumah runtuh sepenuhnya, sebahagian besar dinding musnah dan perabot bertaburan selain menyebabkan tiga buah rumah berhampiran turut mengalami kerosakan struktur.

Petugas kecemasan memaklumkan, siasatan awal mendapati kebocoran gas telah memenuhi ruang rumah sebelum berlakunya letupan ketika semua mangsa sedang tidur.

Bapa pengantin lelaki, Hanif Masih berkata, kesemua mangsa dipercayai masuk tidur sekitar pukul 3 pagi sebelum dikejutkan dengan gegaran bangunan akibat letupan tersebut.

Beliau meluahkan rasa hiba apabila kehilangan isteri, anak lelaki, menantu serta adik iparnya serentak dalam kejadian itu.

Beberapa mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan konkrit terpaksa dikeluarkan menggunakan pengusung oleh pasukan penyelamat yang berdepan kesukaran akibat keadaan struktur bangunan yang tidak stabil.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sahibzada Yousaf berkata, operasi mencari dan menyelamat turut menggunakan anjing pengesan serta peralatan teknologi bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah runtuhan.

Sementara itu, Pengerusi Senat Pakistan, Yusuf Raza Gilani menyifatkan insiden berkenaan sebagai tragedi besar yang mengubah suasana keraian perkahwinan kepada hari berkabung.

Beliau menggesa jabatan berkaitan supaya memperketat pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan penggunaan silinder gas domestik bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Letupan silinder gas bukanlah kejadian terpencil di Pakistan, khususnya di kawasan kediaman lama dan padat melibatkan penggunaan silinder tidak selamat, sistem pengudaraan yang lemah serta kekurangan pemeriksaan berkala oleh pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button