Ops Dadu Mega: Polis tahan 85 individu
KUALA LUMPUR – Seramai 85 individu ditahan menerusi Ops Dadu Mega yang dilaksanakan di seluruh negara antara 20 Disember hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M.Kumar dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut dilaksanakan menerusi Bahagian D7 JSJ Bukit Aman dan JSJ Kontinjen negeri.
Dalam operasi itu, katanya, sebanyak 21 premis diperiksa dan hasilnya 20 premis didapati dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara seperti Filipina, China dan Australia.
Baki satu lagi premis yang diperiksa didapati dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti pelaburan tidak wujud yang menyasarkan warga tempatan.
“Seramai 85 individu ditahan termasuk 23 wanita yang disyaki berperanan sebagai operator dan khidmat pelanggan dalam aktiviti perjudian itu.
“Daripada jumlah itu, 38 daripada yang ditahan adalah warga asing,” katanya.
Beliau turut memberitahu, polis turut merampas perkakasan komputer, peranti dan telefon bimbit serta lain-lain peralatan daripada premis terlibat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 48(a), Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
Sejak 1 Januari hingga semalam, Kumar memberitahu pihaknya telah menyerbu 117 premis yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian.
Seramai 713 orang ditahan dalam serbuan berkenaan.
Beliau kemudiannya menegaskan, operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








