JENAYAH & MAHKAMAH

OKU rugi lebih RM500,000 ditipu sindiket tawaran kerja dalam talian

GEORGE TOWN – Gara-gara tertarik dengan tawaran kerja di dalam talian, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) kerugian RM523,350 akibat ditipu sindiket tawaran kerja tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pembuat kek telah membuat laporan polis setelah menyedari ditipu melalui aplikasi TikTok.

“Mangsa mula berkenalan dengan suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp pada Disember tahun lalu setelah menerima mesej daripada nombor tidak dikenali ketika berada di tempat kerja.

“Suspek kemudian menawarkan peluang pekerjaan menjual barangan permainan kanak-kanak di TikTok dan meminta mangsa membuat bayaran bagi menampung kos tempahan barangan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Tambahnya, mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 10 hingga 15 peratus untuk urus niaga tersebut.

“Disebabkan itu, mangsa telah membuat sebanyak 41 transaksi wang melalui mesin deposit tunai (CDM) antara 18 Disember 2024 hingga 14 Julai 2025 ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM523,350.

”Bagaimanapun, selepas tiada sebarang keuntungan diterima dan suspek terus meminta bayaran tambahan, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut,” jelas beliau.

Menurut Mohd Alwi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button