BERITA SEMASAPOLITIK

Notis pembubaran DUN Negeri Sembilan diserah kepada SPR hari ini

SEREMBAN – Notis rasmi memaklumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi membolehkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) dimulakan.

Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, beliau akan menandatangani notis berkenaan sebelum ia dihantar kepada SPR untuk tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, penyerahan notis itu bertujuan memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengenai pembubaran DUN yang telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.

“Selepas saya menandatangani notis tersebut, ia akan dihantar kepada SPR hari ini juga. Seterusnya terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh dan masa yang sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri,” katanya memetik laporan Bernama.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut peruntukan undang-undang.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 yang berlangsung pada 2023, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH memenangi 17 kerusi manakala BN memperoleh 14 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri selepas Johor mengambil langkah sama pada Isnin lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button